.jpg)
Proses
Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Proses
pembentukan FPK mengambil masa yang panjang dan bermula semasa Malaysia
menuntut kemerdekaan daripada penjajah British. Sebelum pembentukan Malaysia,
institusi pendidikan telah lama wujud di Tanah Melayu. Namun begitu, sistem
pendidikan yang dilaksanakan adalah berbentuk tidak formal seperti sekolah
pondok dan madrasah. Semasa zaman kolonialisme, dasar pendidikan tidak diberi
penekanan oleh pihak British berbanding dasar ekonomi. Sekolah aliran Inggeris
diwujudkan bagi kumpulan elit dan aliran melayu dilaksanakan untuk golongan
bawahan. Dengan pengenalan dasar “laisses-faire,” sekolah aliran vernakular
telah mula tumbuh dengan pesat. Pertambahan sekolah yang berlainan aliran telah
mengakibatkan pihak British tidak dapat menyeragamkan sistem pendidikan di
Tanah Melayu Apabila hampir dengan kemerdekaan, beberapa pemimpin politik
termasuk Tunku Abdul Rahman menyedari keperluan mengubah sistem pendidikan
menjadi lebih seragam.
Terdapat
beberapa jawatankuasa telah diwujudkan bagi menyemak sistem pendidikan yang
wujud pada masa itu. Beberapa laporan telah dihasilkan antaranya Laporan Barnes
(1951), Laporan Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran dan Laporan Razak (1956).
Laporan Barnes (1951) diwujudkan bagi menyemak dan menyelidik pendidikan kaum
Melayu. Ianya mencadangkan dua jenis sistem sekolah ditubuhkan menggunakan
medium bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai pengantar serta sekolah
vernakular ditukar beransur-ansur sebagai sekolah kebangsaan. Manakala hasil
dari laporan Fenn Wu pada tahun 1951 pula mengusulkan cadangan sekolah
vernakular dijalankan dengan mengaplikasikan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu,
Tamil dan Cina. Ordinan Pelajaran (1952) pula mengusulkan cadangan mewujudkan
sistem persekolahan kebangsaan dan menolak sistem vernakular namun ordinan ini
tidak dilaksanakan disebabkan darurat dan kekurangan sumber kewangan pada
ketika itu (Mok Soon Sang 2009).
Pada
tahun 1956, Tun Abdul Razak sebagai Menteri Pelajaran telah mengetuai satu jawatankuasa
iaitu Jawatankuasa Pelajaran 1956 atau Penyata Razak 1956 bagi membentuk semula
sistem pendidikan dengan mengaplikasikan kurikulum dan sistem pembelajaran yang
selaras sesuai dengan masyarakat berbilang kaum serta bahasa Melayu dijadikan
bahasa pengantar dan bahasa kebangsaan. Seterusnya Ordinan Pelajaran 1957
dikuatkuasakan berdasarkan Laporan Razak (1956) yang mengkhususkan kepada
perpaduan dan menjadi tunjang Dasar Pendidikan Kebangsaan. Hasrat untuk
menyatukan sistem pendidikan bagi semua kaum terdapat di dalam Penyata Razak di
Para 12 seperti di bawah:
“Kami
percaya juga yang tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud
hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan
memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan
bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini
tidak dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat
dengan beransur-ansur”Penyata Razak, Para 12
Kemudian
sistem pendidikan diperkemaskan melalui Penyata Rahman Talib (1960) yang
diperakukan dalam Akta Pelajaran 1961 telah menggariskan Bahasa Melayu
dijadikan bahasa pengantar, sistem peperiksaan yang sama di semua peringkat
persekolahan, menekankan subjek keagamaan dan Moral serta penekanan keperluan
tenaga mahir melalui pendidikan Teknik dan Vokasional. Akta Pelajaran 1961
adalah asas kepada pembangunan Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Namun begitu
ianya tidak secara meluas dan sesuai dengan zaman pembangunan negara pada masa
itu. Objektif utama yang terkandung di dalam Akta Pelajaran 1961 adalah seperti
berikut:
"Bahawasanya
dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 ialah
untuk menubuhkan satu sistem pelajaran yang akan dapat memenuhi keperluan
negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan
politiknya..."Akta Pelajaran 1961
Pada
tahun 1970, rentetan peristiwa 13 Mei 1969, wujud desakan untuk membina
perpaduan dalam kalangan rakyat sehingga terhasilnya Rukun Negara yang menjadi
tonggak sistem pendidikan. Selepas itu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Dasar
Ekonomi Baru (DEB) untuk menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat (Noordin,
1993). Bagi aspek pendidikan, berdasarkan perubahan dasar dan keutamaan
kerajaan pada September 1974, satu Jawatankuasa Kabinet diwujudkan bagi
mengkaji Dasar Pelajaran Kebangsaan. Ianya bermatlamat untuk mengkaji kesan
sistem pelajaran terhadap keperluan tenaga rakyat serta memastikan sistem
pelajaran dapat menghasilkan masyarakat yang bersatu, berdisiplin dan terlatih.
Pada
tahun 1979, laporan ini diterbitkan dan dipanggil sebagai Laporan Jawatankuasa
Kabinet 1979. Kesan daripada Laporan Jawatankuasa Kabinet tersebut, satu
pindaan terhadap dasar pendidikan negara telah dilakukan. Pindaan ini
kemudiannya menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pelaksanaan Kurikulum Baru
Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) (Saharia
Haji Ismail, 2015). Laporan Kabinet 1979 ini juga merupakan permulaan ke arah
pembentukan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang lebih jelas.
Dengan
terbentuknya FPN, sistem pendidikan negara menjadi lebih teratur dan sistematik
selepas diumumkan secara rasmi pada tahun 1988. Penukaran nama FPN kepada
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dilaksanakan pada tahun 1996 dan kekal
sehingga kini. FPK terus menjadi teras atau tonggak kepada sistem pendidikan di
Malaysia. Matlamat utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah seperti berikut:
“Pendidikan
di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan
warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan
negara” Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
Secara
terasnya, FPK adalah usaha menghasilkan manusia yang mempunyai akhlak yang
mulia, seimbang dan bersepadu dari aspek jasmani, rohani, emosi dan jasmani
(IREJ). Ini selaras dengan rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan
kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta
Kesopanan dan Kesusilaan