Disediakan Oleh:

Mohammad Iezzat Fathie Bin Mohammad Jafni L20222012978 Abdul Aziim Bin Jooni L20222012991 Mohamad Hazim Bin Khaidzir L20222012954

Thursday, July 13, 2023

PROSES PEMBETUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN




Proses Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Proses pembentukan FPK mengambil masa yang panjang dan bermula semasa Malaysia menuntut kemerdekaan daripada penjajah British. Sebelum pembentukan Malaysia, institusi pendidikan telah lama wujud di Tanah Melayu. Namun begitu, sistem pendidikan yang dilaksanakan adalah berbentuk tidak formal seperti sekolah pondok dan madrasah. Semasa zaman kolonialisme, dasar pendidikan tidak diberi penekanan oleh pihak British berbanding dasar ekonomi. Sekolah aliran Inggeris diwujudkan bagi kumpulan elit dan aliran melayu dilaksanakan untuk golongan bawahan. Dengan pengenalan dasar “laisses-faire,” sekolah aliran vernakular telah mula tumbuh dengan pesat. Pertambahan sekolah yang berlainan aliran telah mengakibatkan pihak British tidak dapat menyeragamkan sistem pendidikan di Tanah Melayu Apabila hampir dengan kemerdekaan, beberapa pemimpin politik termasuk Tunku Abdul Rahman menyedari keperluan mengubah sistem pendidikan menjadi lebih seragam.

Terdapat beberapa jawatankuasa telah diwujudkan bagi menyemak sistem pendidikan yang wujud pada masa itu. Beberapa laporan telah dihasilkan antaranya Laporan Barnes (1951), Laporan Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran dan Laporan Razak (1956). Laporan Barnes (1951) diwujudkan bagi menyemak dan menyelidik pendidikan kaum Melayu. Ianya mencadangkan dua jenis sistem sekolah ditubuhkan menggunakan medium bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai pengantar serta sekolah vernakular ditukar beransur-ansur sebagai sekolah kebangsaan. Manakala hasil dari laporan Fenn Wu pada tahun 1951 pula mengusulkan cadangan sekolah vernakular dijalankan dengan mengaplikasikan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Tamil dan Cina. Ordinan Pelajaran (1952) pula mengusulkan cadangan mewujudkan sistem persekolahan kebangsaan dan menolak sistem vernakular namun ordinan ini tidak dilaksanakan disebabkan darurat dan kekurangan sumber kewangan pada ketika itu (Mok Soon Sang 2009).

Pada tahun 1956, Tun Abdul Razak sebagai Menteri Pelajaran telah mengetuai satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pelajaran 1956 atau Penyata Razak 1956 bagi membentuk semula sistem pendidikan dengan mengaplikasikan kurikulum dan sistem pembelajaran yang selaras sesuai dengan masyarakat berbilang kaum serta bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar dan bahasa kebangsaan. Seterusnya Ordinan Pelajaran 1957 dikuatkuasakan berdasarkan Laporan Razak (1956) yang mengkhususkan kepada perpaduan dan menjadi tunjang Dasar Pendidikan Kebangsaan. Hasrat untuk menyatukan sistem pendidikan bagi semua kaum terdapat di dalam Penyata Razak di Para 12 seperti di bawah:

“Kami percaya juga yang tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur”Penyata Razak, Para 12

Kemudian sistem pendidikan diperkemaskan melalui Penyata Rahman Talib (1960) yang diperakukan dalam Akta Pelajaran 1961 telah menggariskan Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar, sistem peperiksaan yang sama di semua peringkat persekolahan, menekankan subjek keagamaan dan Moral serta penekanan keperluan tenaga mahir melalui pendidikan Teknik dan Vokasional. Akta Pelajaran 1961 adalah asas kepada pembangunan Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Namun begitu ianya tidak secara meluas dan sesuai dengan zaman pembangunan negara pada masa itu. Objektif utama yang terkandung di dalam Akta Pelajaran 1961 adalah seperti berikut:

"Bahawasanya dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pelajaran yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..."Akta Pelajaran 1961

Pada tahun 1970, rentetan peristiwa 13 Mei 1969, wujud desakan untuk membina perpaduan dalam kalangan rakyat sehingga terhasilnya Rukun Negara yang menjadi tonggak sistem pendidikan. Selepas itu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat (Noordin, 1993). Bagi aspek pendidikan, berdasarkan perubahan dasar dan keutamaan kerajaan pada September 1974, satu Jawatankuasa Kabinet diwujudkan bagi mengkaji Dasar Pelajaran Kebangsaan. Ianya bermatlamat untuk mengkaji kesan sistem pelajaran terhadap keperluan tenaga rakyat serta memastikan sistem pelajaran dapat menghasilkan masyarakat yang bersatu, berdisiplin dan terlatih.

Pada tahun 1979, laporan ini diterbitkan dan dipanggil sebagai Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979. Kesan daripada Laporan Jawatankuasa Kabinet tersebut, satu pindaan terhadap dasar pendidikan negara telah dilakukan. Pindaan ini kemudiannya menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) (Saharia Haji Ismail, 2015). Laporan Kabinet 1979 ini juga merupakan permulaan ke arah pembentukan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang lebih jelas.

Dengan terbentuknya FPN, sistem pendidikan negara menjadi lebih teratur dan sistematik selepas diumumkan secara rasmi pada tahun 1988. Penukaran nama FPN kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dilaksanakan pada tahun 1996 dan kekal sehingga kini. FPK terus menjadi teras atau tonggak kepada sistem pendidikan di Malaysia. Matlamat utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah seperti berikut:

“Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara” Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Secara terasnya, FPK adalah usaha menghasilkan manusia yang mempunyai akhlak yang mulia, seimbang dan bersepadu dari aspek jasmani, rohani, emosi dan jasmani (IREJ). Ini selaras dengan rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan


 

No comments:

Post a Comment

KUIZ

  1)  "Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha yang berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh d...